Thursday, September 6, 2012

Airiz Aizad


credit photo : sumber internet


Pasif!!.. itulah sifat aku sekarang ini setelah hampir setahun dia pergi. Dari seorang insan yang ceria, seorang yang kelakar, aku akhirnya menjadi seorang yang pendiam, murung dan berduka. Aku bukan menyalahkan takdir, tapi aku sedih, sedih sebab isteri kesayangan aku telah pergi buat selama-lamanya. Begitu juga anak kecil yang aku dambakan untuk memenuhi kebahagiaan keluarga kami juga pergi tinggalkan aku. Ah… mendadak sungguh segala ketentuan ini berlaku dalam hidupku. Amat sukar untuk aku melalui kehidupan aku yang mendatang.

“Assalamualaikum Ya… AA datang lawat Ya… Dah hampir setahun AA tak melawat Ya.” Aku membersihkan pusara arwah isteriku yang agak kotor itu.

“Assalamualaikum anak papa, maafkan papa ye nak. Papa bukan lupa, tapi papa sibuk.” Kalau pada awal pemergian isteri dan anakku itu, setiap minggu pasti aku akan melawat pusara ini, namun  sejak dua tiga bulan kebelakangan ini tuntutan kerja aku semakin menghimpit waktu aku. Sehinggakan aku tiada masa untuk diri aku sendiri.

“Ya, maafkan AA… dah lama AA tak datang sini. Kesian Ya, AA sibuk sangat. Banyak kerja yang AA kena buat. Maafkan AA yer Ya…” Ligat juga tanganku mencabut rumput-rumput yang meliar di pusara ini. Sayu hatiku juga pabila mataku terpandang nama yang tertera di batu nisan. Amirah Qhadeejah bt. Ahmad Suffian dan nama anakku Ungku Azad Amirul b. Ungku Ariz Aizad. Ya, ketahuilah sayang, AA sangat rindukan Ya. Kutadah tangan memohon doa pada Ilahi agar roh isteri dan anakku ditempatkan digolongan insan yang terpilih. Amin….


“Aizad, bulan depan kau kena tengok site dekat Sabah kan?.” Aku mengerutkan dahi aku. Cuba mengingatkan diriku tentang tutur kata Aiman itu. Sabah??.... Site??... Oh ya, kenapalah aku boleh lupa tentang hal ini. Nasib baik.

“Aku lupalah Man, nasib baik kau ingatkan aku.”

“Apalah yang kau ingat ni. Sudah-sudahlah kau hidup dalam kemurungan ni Aizad. Isteri dan anak kau dah lama pergi. Kau yang masih hidup ni, teruskan kehidupan.”

“Aku tak boleh la Man. Susah aku nak lupakan mereka.”

“Aku tau macam mana.” Riak muka Aiman kupandang. Sengihan nakalnya tersumbing di depan mataku. Apalah agenda mamat ni entahnya.

“Apa?.”

“Aku tau macam mana untuk kau dapat lupakan kesedihan kau tu. I means, cara untuk kau keluar dari belenggu hidup murung kau ni.” Bersinar-sinar mata Aiman dikala ini. seperti ada sesuatu yang cuba dia sampaikan.

“Maksud kau?. Kau nak aku cari peganti Amirah?.” Adakah ini yang Aiman maksudkan??.

“Ha!!...pandaipun… Kau tu kan kacak, smart, poket pun tebal. Why not kau cari peganti yang lain. Buka sikit pintu hati kau tu tuk hadirkan perempuan lain.”

“Kau cakap senanglah Man, aku yang menanggung semua ni. Mana mungkin akan ada peganti Amirah.”

“Aizad… Amirah tetap Amirah, dia akan tetap ada dalam jiwa kau, tapi kehidupan kau sekarang ni, kau kena teruskan. Takkan selamanya kau nak menduda?. Tak nak challenge aku ke? Aku dah nak masuk tiga dah. Kata nak berbesan dengan aku?.” Tak makan saman punya Aiman, sempat jugak dia mengutuk aku!.

“Banyaklah kau punya besan!... Besen pun aku tak mahulah….” Aiman ketawa bagai nak rak. Berjaya juga dia membuat aku ketawa. Yang pasti, hatiku juga terdetik dengan kata-kata Aiman. Aaahhh…. Amirah…. Alangkah bahagianya kalau kau  masih hidup….

“Hoi!!... berangan!!.” Aku terkebil-kebil pabila Aiman melemparkan marker pen di atas meja. Tak guna punya kawan. Dahlah mengutuk aku, sekarang dia buat aku terkejut pula.


­

Di Sabah,

                “Maaf encik, saya ndak sengaja.” Aku hanya memerhati saja lagak gadis di depan ku ini yang kelam kabut mengutip helaian kertas yang beterbangan. Tak jadi pula aku nak memarahinya pabila raut wajah comelnya itu seperti serba salah. Comel??, pandai pula aku menterjemah wajah seseorang gadis sejak sekian lama aku mahu lupakan perihal seorang wanita?. Apakah??, kenapakah??.

                Aku akui, sejak Aiman beria-ria menyuruhku untuk mencari peganti, hatiku ada terdetik. Bolehkah aku menemui kebahagian selain daripada arwah Amirah?. Senyuman sumbingku terukir.

                “Err… encik… helooo….” Aku tersentak apabila gadis comel itu melambai-lambai tangannya di mukaku. Baru ku sedar, aku sempat mengelamun. Teruk betul aku. Belum apa-apa aku dah pandai berangan.

                “Yea, terima kasih sebab tolong kutip.” Aku menyambut huluran kertas-kertas kerja aku daripada tangannya.

                “Sama-sama encik, maaf ya. Saya betul-betul ndak perasan tadi.”

                “Tak mengapalah, awak dah tolong kutipkan kertas-kertas inipun sudah cukup bagus.”

                “Itu bisa saja bah. Salah saya, mestilah saya kena kutip.”

                “Thanks… saya kena cepat, kalau ada jodoh, kita jumpa lagi.” Senangnya aku berkata-kata. Kalau ada jodoh konon. Hahha…. Aku terus berlalu kerana masa untuk aku bertemu dengan pengurus projek di Sabah ini semakin suntuk…

Usai sudah perbincangan aku dengan Mr.Balachandran a/l Mutusamy. Aku kembali ke hotel penginapan aku. Esok aku perlu turun ke tapak pembinaan untuk memerhatikan segala urusan berjalan lancar.

Setelah mandi dan bersolat, aku melepaskan lelah ku di sofa. Ahh…. Kenangan aku bersama Ya terlayar indah diruang mataku tiba-tiba. Sabah adalah destinasi cinta aku dan Ya. Mana lagi kalau bukan Pulau Mabul, Sompoerna. Namun sekarang aku masih di Tawau. Mungkin bila kelapangan aku akan menjengah ke kepulauan terindah itu.

Imbas kembali, Pulau Mabul, Sompoerna.

                “AA, ingat tak masa kita sekolah dulu kita ada datang sini?.”

                “Ingat, mana boleh AA lupa, Ya menangis-nangis taknak balik KL. Sebab pulau ni cantik. Sekarang ni dah maju, lagi cantik kan pulau ni?.”

                “Sejak dari hari tu, Ya simpan niat, Ya nak kesini lagi kalau suatu hari nanti Ya kahwin.”
               
                “Ye sayang, kitakan dah ada di sini. AA sanggup pendekkan masa kita honeymoon di Bali semata-mata nak lama-lama di sini.”

                “Thanks AA sayang. Ya takkan lupakan memori indah ini selamanya. Ya happy sangat.” Hmm… akupun heran dengan isteri aku ni, jauh-jauh aku bawak dia ke Bali, destinasi ke Sompoerna juga yang dia terlebih dambakan. Aku sendiri tak pasti apa yang istimewa sangat di matanya pasal Somperna ini.

                “AA, kalau suatu hari nanti Ya dah takda, AA sedih tak?.”

                “Mestilah sedih. Apa Ya merepek ni.”

                “Mati itu pasti AA. Tak salahkan kalau kita fikir pasal mati?.”

                “AA tahu, tapi kalau boleh, AA nak hidup dengan Ya sampai ke hari tua. Tengok anak-anak kita membesar…. Lepastu… kita dah ada cucu. Ya tak nak rasa pengalaman macam ni?.”

              “Mestila Ya nak, insyaAllah kalau umur panjang, AA dan Ya akan rasa semua ni. AA, kenapa AA nak Ya jadi isteri AA?.” Soalan cepu mas ni akhirnya ditanya oleh Ya.

                “Sebab AA sayang Ya lah, lagi satu…. Sebab AA tahu Radzi tu takkan nak kat Ya yang montel ni. Hahahha…..”

                “AA!!!... sampai hati gelakkan Ya. Ya tahula Ya montel….”

                “Sebab Ya montel lah AA sayang. Sedap dapat peluk kuat-kuat.” Huhu… kali ini aku menerima lagi hadiah dari Amirah Qhadeejah… sedap, cubitan ketam itu. Hahha….

                “AA ni!!... tak mau kawan. Menyampah.”

                “Ala tome-tome…. Meh sini meh sayang…. “ Aku menarik tubuh Amirah Qhadeejah ke dalam dakapan aku. Sejak aku sah menjadi suaminya, memang aku suka peluk dia… gebu… macam teddy bear. Hahha….

                “Ya sayang, nantikan bila perut Ya ni dah ada isi… mesti Ya lagi montelkan?. Eeeii tak sabarnya AA nak tengok Ya. Mesti comel sangat.” Aku mengusap-usap perutnya dari belakang. Aku tau, pasti Amirah Qhadeejah dah tarik muka empat belas.

                “AA, kalau Ya mengandung anak lelaki…. Ya nak namakan anak kita Azad Amirul. Kalau perempuan Ya nak namakan dia Aaina Athirah. Boleh tak AA?.” Aik… lain pula peel isteri aku ni, aku ingatkan dia marah. Rupanya dia pun sama macam aku. Tak sabar nak ada anak. Memang menjadi lah perancangan aku nak bagi emak aku sepuluh orang cucu macam ni. Hahha….

                “Ikut Ya lah, AA tak bantah. Baik pada Ya, baiklah pada AA.”

                “Thank sayang.” Pipiku tiba-tiba saja panas pabila Amirah Qhadeejah tanpa segan menciumnya. Macam mana aku tak sayang dia. Semakin hari aku hidup dengan dia, dia semakin manja dengan aku. Bahagianya…. Inilah indahnya bercinta selepas kahwin.

Tenenet…teneneenett….

                Aku tersentak selepas bunyi alarm yang ku pasang berdering-dering menandakan jam sudah 5.30 pagi. Rupanya aku terlelap di sofa itu semasa mengingati arwah isteriku. Sayunya perasaan aku dikala ini. Aku terus bangun dan membuat persiapan untuk turun ke site. Sabah awal sejam dari Kuala Lumpur, jadi Subuh awal-awal lagi sudah masuk waktu.

                Dalam doaku, aku bermohon agar aku diberikan kesejahteraan hidup, berharap yang maha Esa memberikan aku kekuatan untuk melalui masa-masa akan datang. Aku juga tak lupa mendoakan ibu bapaku serta bekas mentuaku…



                Selama 5 hari aku berulang alik ke tapak pembinaan, aku mengambil kesempatan untuk ke Sompoerna. Lokasi utama aku ialah Pulau Mabul, satu kepulauan yang sangat indah. Bukan hanya pada pandangan aku, tapi pada mereka yang pernah kesini, pasti akan kagum. Aku amat berharap, aku kuat. Almaklumlah, di sinilah  tempat sejarah cinta aku dan dia. Aku kembali semula kesini mengharapkan satu keajaiban datang buatku.

                Aku berjalan di bawah pokok kelapa yang tumbuh subur di sekeliling pantai menuju ke gigi air laut. Merenung jauh ke tengah lautan. Subhanallah, betapa agungnya ciptaan Ilahi ini mampu mengurangkan tekanan yang ada. Desiran ombak yang menghempas memberikan aku inspirasi. Setelah lama aku berdiri di tepi pantai ini, aku bergerak menuju kerusi rehat yang disediakan.

                Di kejauhan, mataku tiba-tiba tertangkap sesusuk tubuh yang aku rasa seperti pernah melihatnya. Aku terus memerhati tingkah lakunya yang seperti sedang menangis. Tapi aku tak pasti bagaimanakah keadaan dia yang sebenar. Sekali sekala aku melihat dia mengelap muka. Sah!!, memang dia sedang menangis.

                Aku sendiri tak pasti, kenapa kaki aku ini bergerak menuju kearah gadis itu. Puas aku mengingati, di mana aku ada ketemu dengannya.

                “Assalamualaikum….” Aku memulakan bicara, risau juga jika kehadiran aku salah pada masanya. Nanti tak pasal-pasal aku kena maki pula. Orang tengah menangis ni, jiwanya kacau. Nanti bertambah kemarau nanti. Risau ni.

                “Assalamualaikum…cik….” Aku ulangi salamku yang tadi tidak dijawab.

                “Errr… aa…. “ dia mendongak memandangku. Ya, gadis comel itu, aku sudah ingat. Dia inilah yang melanggarku di airport hari tu.

                “Awak???.”

                “Encik…maafkan saya…” gadis itu terus bangun dan mahu meninggalkan aku.

                “Awak… wait!!… “ Aku tak puas hati kalau gadis ini berlalu tanpa kata apa-apa.

                “Awak yang kat airportkan?, saya Aizad. Saya bukan nak menyebuk, tapi hati saya tertanya-tanya kenapa dengan awak.” Gadis itu berpaling memandangku, merenungku bagai mencari sesuatu.

                “Maaf encik.”

                “Nama awak siapa?.”

                “Maira.”

                “Nak share dengan saya apa yang dah terjadi?. Mana tahu kurang sikit beban awak.”

                “Err… ndak apalah. Ndak ada apa yang terjadi.” Gadis ini kelihatan ragu-ragu. Siapapun akan ragu-ragu bila lelaki seperti aku yang tak dikenali tiba-tiba mahu ambil tahukan?.

                “Maira, saya bukan orang jahat. Jangan takut. Saya datang sini sebab sini tempat nostalgia saya dengan arwah isteri saya.” Aku melihat wajahnya sikit terkejut. Mungkin dengan berlaku jujur seperti ini, gadis ini akan mempercayai aku.

                “Arwah isteri?.”

                “Ya, isteri saya dah lama meninggal. Banyak kenangan kami di sini.” Entah kenapa aku mudah pula bercerita dengan gadis ini. Aku rasa senang dan tenang. Seperti sudah lama aku mengenalinya. Sampai aku sendiri tidak sedar ceritaku semakin jauh… jauh dan jauh…. Padahal pada mulanya aku yang mahu mendengar kisahnya, ini sudah terbalik. Aku pula yang meluahkan rasa. Malu pula aku rasa. Sungguh, aku tak tipu, aku amat menyenangi gadis comel ini.

                Maira seorang gadis comel yang sangat menarik perhatian aku. Nama penuhnya Umairah Solehah. Pada mulanya aku ingatkan dia memang anak jati Sabah, tapi rupa-rupanya dia berasal dari Negeri Sembilan. Sudah dua tahun menetap di Sabah. Katanya mahu berdikari dan berjauhan dengan keluarga. Patutlah ‘slang’ Sabahnya juga pekat. Sudah terbiasa rupanya dengan penduduk-penduduk di sini.



Perkenalan kami terus berlanjutan sehinggalah pada hari yang amat aku nantikanh                                  
                                                                                           , ketika ini Umairah Solehah pulang ke Negeri Sembilan. Aku berjanji padanya mahu bertemu dengannya. Aku yakin dengan perasaan aku kali ini. Aku mahu melamarnya menjadi suri di hati.

Sehari sebelum aku pergi bertemu dengan Umairah Solehah, aku menziarahi kubur arwah isteriku. ‘Ya, AA bukan nak cari peganti Ya, tapi hati ini sudah terusik dengan kehadiran dia. Ya doakan AA dari sana yer. Ya tetap di hati AA sampai bila-bila. AA di sini sunyi Ya, AA rindukan Ya…’. Sampai bila-bila aku takkan lupakan Amirah Qhadeejah. Dial tetap isteriku sampai bila-bila.

                Seperti yang dijanjikan, aku bergegas ke Seremban menemui Umairah Solehah. Sudah sebulan tidak ketemu. Almaklumlah, gadis comel inikan bekerja di Tawau. Sebulan sekali belum tentu dia akan pulang ke Semenanjung. Sebenarnya, selepas pertemuan pertama aku dengannya di Pulau Mabul, perkenalan kami sudah menjangkau setahun lamanya. Aku kerap berhubung dengannya melalui telefon. Kadangkala melalui facebook.

                Mesti semua nak tahu kenapa Umairah Solehah menangis di Kepulauan Mabul hari tu. Tanpa paksaan, dia sendiri berkongsi cerita denganku setelah 2 bulan kami bersahabat, sejak itulah aku makin menyayanginya. Kerana sebuah cerita duka itu menambat hatiku padanya.

                “Awak nak tahu kenapa saya menangis hari tu?.” Aku tersenyum dan mengangguk. Mestilah aku mahu tahu.

                “Awak, sebenarnya hari yang awak jumpa saya hari tu, tunang saya melangsungkan pernikahan dengan gadis lain. Mereka… mereka ditangkap basah sebab bersekedudukan.” Aku biarkan dia bercerita sebab aku mahu dia meluahkan segala yang terpendam.

                “Awak nak tahu lagi?... sebenarnya tinggal sebulan saja lagi kami akan menikah, kad kahwin semua dah diedarkan. Semua persiapan sudah diatur. Tapi apa nak buat, semuanya dah berlaku. Majlis pernikahan saya dibatalkan dan ayah buat kenduri doa selamat sahaja.” Tak kusangka, pahit betul realiti yang terpaksa Umairah Solehah tanggung. Tunang yang diharap untuk menerajui mahligai rumahtangga yang bakal dibina tak sampai lagi sebulan, musnah secara tiba-tiba dek nafsu binatang tunang sendiri.

                “Yang paling menyakitkan hati saya, saya terpaksa berdepan dengan dia hari-hari sebab dia bos saya. Saya kena kuatkan hati. Nak tukar kerja lain, saya tak mampu sebab saya dah selesa dengan kerja saya sekarang.” Tabah betul Umairah Solehah, sanggup menahan semuanya dan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Katanya, urusan peribadi dan kerja, tidak perlu dicampurkan. Sebab keperibadian dia inilah, yang membuka pintu hatiku untuk menyayanginya.

               


                Tepat jam 11 pagi aku sudah tiba di Seremban. Lokasi yang dituju adalah Jaya Jusco Seremban 2. Hanya tempat itu sahaja yang ku tahu untuk dituju. Almaklumlah, aku bukanlah kaki rayau. Tahu saja mana arah. Umairah Solehah sudah menantiku di sana. Aku sedia maklum, Umairah Solehah sememangnya seorang gadis yang punctual. Tidak suka lambat dan tidak suka menunggu. Itu salah satu sifatnya yang aku suka. Sebab akupun macamtu.

                “Hai awak… saya lambat?.” Dia hanya menggeleng tanda aku tidak lambat.
               
                “Saya yang terawal.”

                “Rindu nak jumpa saya eh??. “ Merah mukanya menahan malu. Sekali sekala bergurau senda dengannya tak salahkan?.

                “Mana ada. Pandai-pandailah awak yer.”

                “Kalau awak tak rindu tak apalah, tapi sememangnya saya rindu nak jumpa awak.” Kami menuju ke Secret Recipe dan aku tak mahu mengambil masa yang lama untuk melamar dia. Ya Allah, permudahkanlah niat ku yang satu ini. aku harap Umairah Solehah tidak terkejut. Sebabnya perhubungan kami tidak pernah lebih dari seorang sahabat baik.

                Setelah memesan pesanan ringkas buat kami berdua. Aku tidak akan tunggu lagi. Hati aku juga berdebar-debar. Risau dengan penerimaannya. ‘Ya, doakan AA…’

                “Maira, sebenarnya saya ada hal penting nak bincang dengan awak.”

                “Penting?, kenapa?.”

                “Okey, sebelum apa-apa, saya nak awak dengar dulu. Lepas tu baru awak buat keputusan yer. Saya akan terima semuanya.” Aku lihat wajahnya berkerut seribu. Mesti pelik dengan lagakku yang tiba-tiba serius.

                “Hmm… okey… apa dia??, awak nak kerja kat oversea ke?.” Isyhh dia ni…. Sabarlah, aku dahlah cemas dan was-was ni. Gabra pun ada. Lain perasaan aku sekarang ni berbanding masa aku lamar arwah isteriku dulu. Cool down Ariz Aizad….. Bismillahirohmanirrahim…….

                “Umairah Solehah… serius saya cakap, saya nak lamar awak jadi isteri saya yang sah.” Terkebil-kebil mata Umairah Solehah memandangku. Aku dah agak, mesti dia terkejut punya.

                “Err….. awak??.”

                “Maafkan saya, saya sendiri tak pasti kenapa. Tapi sejak saya kenal dengan awak, hati saya berkata-kata. Awaklah yang bakal menyerikan hidup saya.”

                “Saya… saya…. “ Aku tahu, keputusan aku amat mendadak. Aku tak pernah bertanyakan soal hati padanya.

                “Umairah Solehah, sekali lagi saya nak tanya, awak sudi tak jadi isteri saya?. Jadi ibu kepada bakal anak-anak saya. Jadi pelengkap hidup saya sampai mati?.” Aku lihat airmatanya mengalir. Syahdu sungguh perasaan aku dikala ini. Anggukan daripadanya amat menyenangkan hati aku. Syukur Alhamdulillah. Aku sangat lega. ‘Ya, terima kasih doakan AA. Doakan AA bahagia Ya.’

                “Terima kasih Maira sebab bagi peluang pada saya. Saya janji selagi saya bernyawa, saya akan jaga awak sampai bila-bila.”


                Niatku yang satu ini akhirnya mendapat restu daripada kedua orang tuanya. Statusku sebagai seorang duda tidak menjadi penghalang kepada mereka. Aku sangat bersyukur kerana keluarga Umairah Solehah dapat menerima aku yang duda ini. Begitu juga dengan mak dan ayahku. Mereka gembira melihat aku sudah boleh menerima orang lain dalam hidupku setelah hampir dua tahun aku menyendiri. Kepada bekas mentuaku juga ku maklumkan berita gembira ini. Mereka juga menyambut baik niatku. Setelah menerima lamaran ku, Umairah Solehah terus berhenti kerja di Tawau dan aku sendiri yang menyarankan dia supaya tidak bekerja.

                Setelah segala persiapan dibuat. Aku akhirnya sah menjadi suami kepada Umairah Solehah bt. Haji Salim. Segalanya diatur berjalan dengan sempurna seperti yang dirancangkan. Alhamdulillah…

                “Maira, mulai hari ini Maira kena panggil abang.”

                “Kalau taknak macam mana?.”

                “Kena nak jugak, mana boleh awak-awak lagi. Abangkan dah sah jadi suami Maira.”

                “Errm…. awak bukan abang Maira. Maira tak nak lah.” Mengadanyalah pulak isteri aku yang seorang ni.

                “Dah tu?, Maira nak panggil apa?.” Aku melihat riak wajah Umairah Solehah seperti sedang memikirkan sesuatu.

                “Bi for baby and Bi for hubby. Boleh tak?.” Bi?, simple and easy. Bolehlah, nampak manja sikit.

                “Maira nak panggil abang ni Bi?. Okey hunny…. I follow.” Senyuman manis isteriku ini sangat-sangat menenangkan jiwa ku. Sekaligus membuatkan hatiku bergelora. 

                “Bi, terima kasih sebab sudi ambil Maira jadi isteri Bi.”

                “Bi yang kena ucap terima kasih pada Maira. Sebab sanggup terima si duda terlajak ni.” Aku ketawa geli hati sebab dapat menyakat isteriku ini.

                “Hmm.. apa nak buat, dah jodoh Maira dengan duda terlajak, kenalah Maira terima hakikat ini seadanya sampai mati.” Hah, aku yang terkena balik. Ketawa Maira berlegar di ruang kamar kami.

                “Amboi…. Sampai hati ya kutuk Bi.”

                “Bi yang mulakan dulu. Maira ikutkan aja.” Senang hati aku kerana Umairah Solehah tidak kekok untuk bersama aku melayari bahtera kasih yang bakal kami tempuhi.

                “Bi…. Esok kita melawat kubur arwah Amirah ya.”

                “Okey sayang. Esok Bi bawa Maira ke sana yer. Bi memang dah niat nak bawa Maira ke sana.”

                Ya.. AA dah selamat menikah dengan gadis pilihan AA tu. Alhamdulillah, semua merestuinya. Ya jangan risau yer, meskipun Ya dah tak ada di sisi AA, tapi nama Ya kekal abadi di hati ini. Ya, sesungguhnya cinta AA pada Ya takkan berubah sedikitpun meskipun sekarang AA sudah jadi suami kepada Umairah Solehah. Ya nak tau, Umairah Solehah sebaik Ya juga. AA sangat bertuah sebab Allah memberikan AA pasangan yang terbaik buat diri ini. Al-fatihah buatmu isteriku…..

               
Sesungguhnya benar kata pepatah, yang hilang pasti berganti, yang patah pasti akan tumbuh kembali… begitulah kehidupan yang aku lalui…. Kehilangan Amirah Qhadeejah di saat kami menantikan cahayamata sulung menemukan aku dengan isteriku yang terkini. Kesedihan dan kekecewaan aku kembali terubat dengan hadirnya insan kecil, puteri hati aku dan Umairah Solehah. Aku bertuah kerana Umairah Solehah amat memahami aku dan dia sendiri meletakkan nama Amirah Qhadeejah sebagai nama puteri sulung kami.

                Umairah Solehah sendiri yang memberitahu aku, dia bahagia memiliki aku. Dia sendiri mengaku dia sudah jatuh hati saat pertama kami bertemu. Sejujurnya juga dia beritahu, saat aku merenungnya dia ruang legar airport dahulu, disitulah hatinya mula terdetik. Alangkah bertuahnya kalau dia dapat memiliki diriku. Betul jugalah kata-kata si bijak pandai, kita hanya memerlukan sesaat untuk jatuh cinta, kerana dari mata jatuh kehati dan pertemuan kedua kami di Pulau Mabul, bagaikan sudah tersurat. Ya Allah, terima kasih Allah kerana menemukan kami.


Tamat.



-------------------


Kisah ini telah dipublish di Penulisan2U.... terima kasih dengan kritikan dan komen2 yang membina. setiap yang ditulis pasti ada cacat celanya, kekurangan fakta ataupun tersalah memahami. Sebabnya lain orang lain cara pembacaanya.... lain orang lain pendapatnya... InsyaALLAH saya akan cuba memperbaiki mutu gaya penulisan saya agar lebih mudah difahami dan disenangi ramai... THANKS ya!...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
;